BIODATA
Nama : Datuk Yusuf Taiyoob
Gelaran : Raja Kurma Malaysia
Jawatan : Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
Asal : Georgetown, Pulau Pinang
Umur : 54 tahun
Isteri : Datin Yusnita Ramli
Anak : Waseem (9), Safiya (6) dan Safina (3)
Adik-beradik: Anak sulung daripada empat beradik
Jenis perniagaan: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan




Datuk Yusuf Taiyoob merupakan usahawan yang mengeluarkan produk buah kurma yang diberi nama sama dengannya; 'Yusuf Taiyoob'. Apabila hampir bulan Ramadhan, seringkali iklan buah kurma "Yusuf Taiyoob" dimainkan di skrin televisyen dan juga di radio. Jesteru, nama Yusuf Taiyoob tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.


Datuk Yusuf Taiyoob telah memulakan perniagaan sejak berumur 21 tahun. Ketika itu, beliau menjual minyak wangi buatan sendiri di Lapangan Terbang Bayan Lepas. Produk yang dihasilkan mendapat sambutan memberangsangkan. Sehinggalah pada satu ketika, beliau jatuh sakit (muntah darah akibat pendarahan dalaman yang serious) akibat tekanan jualan yang semakin merundum.

“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.

“Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata beliau.

Dengan semua dugaan yang beliau hadapi, beliau belajar dari kesilapan dengan merangka semula strategi perniagaan yang baru. Beliau nekad untuk menukar bentuk perniagaan kepada pengimport makanan termasuk kurma secara kecil-kecilan.

Berkat hasil usaha beliau, perniagaan berkembang maju dan produk keluarannya semakin popular termasuk di Indonesia, Singapura dan Thailand. Beliau kini memiliki lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan 50 kakitangan di pejabatnya.

Prinsip utama dalam hidup beliau ialah tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih minat menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kekangan dan pengalaman pahit dalam dunia usahawan.


“INI adalah pencapaian saya selepas 30 tahun bergelumang dalam perniagaan, apatah lagi saya bermula dari zero (kosong),” kata Datuk Yusuf Taiyoob.


Written by
Mohd Syafiq Azizi
Chief Executive Officer
 
Top